Isnin, 14 Januari 2013

Liyana Jasmay Akan Pindah Ke Sabah Selepas Kahwin

liyana-jasmay-nikah
Liyana Jasmay telah mengesahkan dia akan berpindah ke Kota Kinabalu, Sabah selepas berkahwin nanti bagi mengikut bakal suaminya yang bekerja di sana.

Liyana Jasmay, 25 dan tunangnya Fathuddin Mazlan, 29 bakal bernikah pada 2 Februari 2013 bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dan majlis resepsi sebelah perempuan akan berlangsung pada sebelah malam hari yang sama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Majlis resepsi sebelah lelaki pula akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 9 Februari.
Berhubung majlis perkahwinan yang akan berlangsung tidak lama lagi, Liyana Jasmay telah memilih untuk tidak menerima sebarang tajaan bagi majlisnya itu biarpun menelan kos yang agak tinggi.
“Ramai yang datang untuk memberikan tajaan pelamin, dekorasi, fotografi dan sebagainya tetapi saya tolak dengan baik kerana ingin melakukan semuanya sendiri.”
“Saya mahu sebuah majlis perkahwinan yang ringkas dan lebih dekat dengan jiwa semua yang hadir. Apabila saya buat pilihan sendiri, saya rasa puas tanpa perlu memikirkan hati atau keuntungan pihak lain”
Bercerita lanjut tentang gaun pengantin pula, Liyana Jasmay bakal menggayakan gaun pengantin hasil rekaan daripada pereka fesyen terkenal  Jovian Mandagie.
“Perkara lain pun penting juga tetapi bagi saya, paling penting adalah gaun pengantin. Walaupun saya sibuk belajar di New York selama enam bulan, saya sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini gaun pengantin saya yang dibuat oleh pereka fesyen, Jovian Mandagie.”
“Pelamin semuanya ringkas sahaja. Kecuali gaun pengantin saya (ketawa). Sudah lama saya idamkan gaun rekaan Vera Wang tetapi ia sangat mahal, jadi saya minta Jovian membuat gaun mengikut kehendak saya. Apa yang saya boleh katakan gaun yang dibuat Jovian itu merupakan pakaian pengantin impian saya,”
Liyana Jasmay dijangka akan terbang ke New York selepas selesai majlis perkahwinannya nanti bagi menjalani penggambaran sebuah telefilem khas untuk Astro.
“Saya akan berada di sana selama 15 hari dan akan bawa Fathuddin sekali. Jadi, sambil bekerja kami pergi berbulan madu ekspres (ketawa)”
Petikan kata: Kosmo

Ahad, 13 Januari 2013

‘Kahwin 5’, Filem Komedi Tiada Lucunya
Sebahagian pelakon Kahwin 5 (dari kiri) Anzalna Nasir, Norish Karman, Usop Wilcha dan Adrea bersama pengarah Nizam Zakaria dan penerbit Jaja Nadzir.

APABILA sebut pasal topik ‘bermadu’, filem arahan seniman agung Tan Sri P. Ramlee iaituMadu Tiga pantas adegan-adegannya menerpa minda.
Begitu kuat impak naskhah komedi terbitan 1964 itu, ia terus segar dan ‘hidup’ dalam ingatan sekalian penggemar filem Melayu sehingga kini.
Justeru, apa jua karya yang menyusul selepas itu, perbandingan dengan filem tersebut tidak boleh dielakkan.
Hal sama terjadi kepada filem kedua pengarah baru Nizam Zakaria yang berjudul Kahwin 5.
Lihat pada tajuk sahaja, sesiapa pun dapat menduga filem ini berkaitan dengan kehidupan hidup bermadu.
Pemilihan tema yang bersifat matang dan dewasa ini sememangnya satu pendekatan yang berlainan daripada persembahan lazim majoriti pengkarya kita.
Inisiatif Nizam mengangkat subjek itu wajar dipuji biarpun persembahan filem ini tidak semantap yang diharapkan.
Tanpa perlu kita membuat perbandingan, apa yang dipaparkan dalam Kahwin 5 baik pada plot atau komedinya boleh dianggap baik tetapi longgar.
Longgar yang dimaksudkan di sini adalah naratif dan skrip yang kurang kemas serta elemen komedi yang sederhana.
Bukan komedi tidak menjadi tetapi mungkin pada kebanyakan waktu, jenaka yang ditawarkan klise dan sudah diramalkan terlebih awal.
Para pelakon yang menggalas watak masing-masing juga beraksi pada tahap sederhana.
Usop Wilcha yang merupakan nadi filem ini memainkan peranannya dengan baik sebagai usahawan Dr K.
Penterjemahan Usop yang digambarkan sebagai lelaki beristeri empat yang miang agak meyakinkan walaupun ia boleh menjadi lebih baik dengan bimbingan lakon layar yang terperinci.
Setidak-tidaknya, penonton dapat melihat lakonan Usop yang ‘lari’ daripada stail komedi klisenya sebelum ini.
Pun begitu, penonjolan Usop itu tidak diimbangi dengan baik oleh empat aktres yang menggalas watak isteri Dr K iaitu Saadiah(Dian P. Ramlee), Sahara (Adrea Abdullah), Monalisa (Norish Karman) dan Mimi (Marsha Londoh).
Filem kedua arahan Nizam tidak sebaik karya pertamanya, Cinta Kura-Kura.
Karisma Dian bagai dicuri oleh kekalutan lakonan tiga lagi aktres iaitu Adrea Abdullah, Norish Karman dan Marsha Londoh.
Sementara kehadiran Anzalna sebagai Farra dilihat bagai mengisi senarai pelakon dan Fizz Fairuz (Rahim) serta Soffi Jikan (Cico) pula ‘tersekat’ dengan lakonan yang sudah berpuluh kali dipertontonkan pada filem atau drama lain.
Momentum cerita yang huru-hara ini semakin merosot dan menjadi terburuk pada babak akhir iaitu pernikahan paksa antara Dr K dan Farra.
Mungkin kerana terlalu mahu menyuntik komedi, pengarahnya terlepas pandang bahawa himpunan semua karakter di penghujung babak itu bagaikan babak di pasar borong.
Lucunya tak terasa, yang nampak hanya kelam-kabut dan kekecohan.
Secara ringkas, filem komedi ini mengisahkan usahawan mangkuk plastik bernama Dr K lakonan Usop Wilcha yang hidup bahagia bersama empat isteri iaitu Saadiah (Dian P. Ramlee), Sahara (Adrea Abdullah), Monalisa (Norish Karman) dan Mimi (Marsha Londoh).
Bagaimanapun, kedatangan Dr. K bersama pemandu peribadinya Rahim (Fizz Fairuz) ke cawangan syarikatnya di Johor Bahru, Johor atas urusan kerja bertukar menjadi kemelut hitam yang memporak-perandakan hidupnya.
Gara-gara sikap mata keranjangnya, Dr K terjebak dalam masalah besar apabila dia bertemu setiausaha jelita bernama Farra (Anzalna Nasir).

FILEM: Kahwin 5 - Miang Lawan Pailang
ARAHAN: Nizam Zakaria
LAKONAN: Usop Wilcha, Fizz Fairuz, Dian P. Ramlee, Norish Karman, Anzalna Nasir, Adrea Abdullah, Marsha Londoh
GENRE: Komedi, kekeluargaan
DURASI: 1 jam 21 minit
EDARAN: United Studios
TAYANGAN: Bermula 27 Disember 2012
'Argo' Diumumkan Filem Terbaik Anugerah Golden Globe
Ben Affleck

LOS ANGELES: Filem Argo arahan dan lakonan Ben Affleck memenangi Filem Terbaik anugerah Golden Globe ke 70 pada kemuncak acara pra-Oscar Hollywood yang diadakan di sini pada Ahad (waktu tempatan).
Affleck turut memenangi Pengarah Terbaik untuk filem itu.
Karya berkenaan berkisar tentang misi ejen perisikan Amerika Syarikat untuk membebaskan enam diplomat negara itu yang mendapat perlindungan di kediaman duta Kanada di Tehran, Iran semasa krisis pada tahun 1979.
Sementara itu bagi kategori drama pula, Homeland dipilih sebagai drama terbaik anugerah berkenaan pada kali ini.
Claire Danes (kiri) dan Damian Lewis masing-masing memenangi Pelakon Wanita dan Pelakon Lelaki terbaik bagi drama Homelandpada Anugerah Gloden Globe yang berlangsung di Los Angeles, pada Ahad.
Homeland turut mencipta kejayaan apabila dua pelakonnya iaitu Damian Lewis dan Claire Danes masing-masing diumumkan sebagai aktor dan aktres terbaik.
Berikut ini senarai penuh pemenang Golden Globe 2013.
KATEGORI FILEM:
1. Filem Terbaik : Argo
2. Filem Komedi/Muzikal Terbaik: Les Miserables
3. Pengarah Terbaik: Ben Affleck – Filem Argo
4. Aktor Terbaik Drama: Daniel Day-Lewis – Lincoln
5. Aktres Terbaik Drama: Jessica Chastain – Zero Dark Thirty
6. Aktor Terbaik Muzikal/Komedi: Hugh Jackman - Les Miserables
7. Aktres Terbaik Muzikal/Komedi: Jennifer Lawrence - Silver Linings Playbook
8. Pelakon Pembantu Terbaik Lelaki: Christoph Waltz - Django Unchained
9. Pelakon Pembantu Terbaik Wanita: Anne Hathaway - Les Miserables
10. Filem Luar Terbaik: Amour
11. Lakon Layar Terbaik: Django Unchained
12. Skor Asal Terbaik: Life of Pi
13. Animasi Terbaik: Brave
KATEGORI DRAMA:
1. Drama Siri Terbaik: Homeland
2. Aktres Terbaik: Claire Danes - Homeland
3. Aktor Terbaik: Damian Lewis : Homeland
4. Drama Muzikal/Komedi Bersiri Terbaik: Girls
5. Pelakon Wanita Muzikal/Komedi Terbaik: Lena Dunham - Girls
6. Pelakon Lelaki Muzikal/Komedi Terbaik: Don Cheadle - House of Lies
7. Mini Siri/Filem Terbaik: Game Change
8. Aktres Mini Siri/Filem Terbaik: Julianne Moore - Game Change
9. Aktor Mini Siri/Filem Terbaik: Kevin Costner - Hatfields & McCoys
10. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Maggie Smith - Downton Abbey
11. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ed Harris - Game Change - AFP