Ahad, 13 Januari 2013

‘Kahwin 5’, Filem Komedi Tiada Lucunya
Sebahagian pelakon Kahwin 5 (dari kiri) Anzalna Nasir, Norish Karman, Usop Wilcha dan Adrea bersama pengarah Nizam Zakaria dan penerbit Jaja Nadzir.

APABILA sebut pasal topik ‘bermadu’, filem arahan seniman agung Tan Sri P. Ramlee iaituMadu Tiga pantas adegan-adegannya menerpa minda.
Begitu kuat impak naskhah komedi terbitan 1964 itu, ia terus segar dan ‘hidup’ dalam ingatan sekalian penggemar filem Melayu sehingga kini.
Justeru, apa jua karya yang menyusul selepas itu, perbandingan dengan filem tersebut tidak boleh dielakkan.
Hal sama terjadi kepada filem kedua pengarah baru Nizam Zakaria yang berjudul Kahwin 5.
Lihat pada tajuk sahaja, sesiapa pun dapat menduga filem ini berkaitan dengan kehidupan hidup bermadu.
Pemilihan tema yang bersifat matang dan dewasa ini sememangnya satu pendekatan yang berlainan daripada persembahan lazim majoriti pengkarya kita.
Inisiatif Nizam mengangkat subjek itu wajar dipuji biarpun persembahan filem ini tidak semantap yang diharapkan.
Tanpa perlu kita membuat perbandingan, apa yang dipaparkan dalam Kahwin 5 baik pada plot atau komedinya boleh dianggap baik tetapi longgar.
Longgar yang dimaksudkan di sini adalah naratif dan skrip yang kurang kemas serta elemen komedi yang sederhana.
Bukan komedi tidak menjadi tetapi mungkin pada kebanyakan waktu, jenaka yang ditawarkan klise dan sudah diramalkan terlebih awal.
Para pelakon yang menggalas watak masing-masing juga beraksi pada tahap sederhana.
Usop Wilcha yang merupakan nadi filem ini memainkan peranannya dengan baik sebagai usahawan Dr K.
Penterjemahan Usop yang digambarkan sebagai lelaki beristeri empat yang miang agak meyakinkan walaupun ia boleh menjadi lebih baik dengan bimbingan lakon layar yang terperinci.
Setidak-tidaknya, penonton dapat melihat lakonan Usop yang ‘lari’ daripada stail komedi klisenya sebelum ini.
Pun begitu, penonjolan Usop itu tidak diimbangi dengan baik oleh empat aktres yang menggalas watak isteri Dr K iaitu Saadiah(Dian P. Ramlee), Sahara (Adrea Abdullah), Monalisa (Norish Karman) dan Mimi (Marsha Londoh).
Filem kedua arahan Nizam tidak sebaik karya pertamanya, Cinta Kura-Kura.
Karisma Dian bagai dicuri oleh kekalutan lakonan tiga lagi aktres iaitu Adrea Abdullah, Norish Karman dan Marsha Londoh.
Sementara kehadiran Anzalna sebagai Farra dilihat bagai mengisi senarai pelakon dan Fizz Fairuz (Rahim) serta Soffi Jikan (Cico) pula ‘tersekat’ dengan lakonan yang sudah berpuluh kali dipertontonkan pada filem atau drama lain.
Momentum cerita yang huru-hara ini semakin merosot dan menjadi terburuk pada babak akhir iaitu pernikahan paksa antara Dr K dan Farra.
Mungkin kerana terlalu mahu menyuntik komedi, pengarahnya terlepas pandang bahawa himpunan semua karakter di penghujung babak itu bagaikan babak di pasar borong.
Lucunya tak terasa, yang nampak hanya kelam-kabut dan kekecohan.
Secara ringkas, filem komedi ini mengisahkan usahawan mangkuk plastik bernama Dr K lakonan Usop Wilcha yang hidup bahagia bersama empat isteri iaitu Saadiah (Dian P. Ramlee), Sahara (Adrea Abdullah), Monalisa (Norish Karman) dan Mimi (Marsha Londoh).
Bagaimanapun, kedatangan Dr. K bersama pemandu peribadinya Rahim (Fizz Fairuz) ke cawangan syarikatnya di Johor Bahru, Johor atas urusan kerja bertukar menjadi kemelut hitam yang memporak-perandakan hidupnya.
Gara-gara sikap mata keranjangnya, Dr K terjebak dalam masalah besar apabila dia bertemu setiausaha jelita bernama Farra (Anzalna Nasir).

FILEM: Kahwin 5 - Miang Lawan Pailang
ARAHAN: Nizam Zakaria
LAKONAN: Usop Wilcha, Fizz Fairuz, Dian P. Ramlee, Norish Karman, Anzalna Nasir, Adrea Abdullah, Marsha Londoh
GENRE: Komedi, kekeluargaan
DURASI: 1 jam 21 minit
EDARAN: United Studios
TAYANGAN: Bermula 27 Disember 2012
'Argo' Diumumkan Filem Terbaik Anugerah Golden Globe
Ben Affleck

LOS ANGELES: Filem Argo arahan dan lakonan Ben Affleck memenangi Filem Terbaik anugerah Golden Globe ke 70 pada kemuncak acara pra-Oscar Hollywood yang diadakan di sini pada Ahad (waktu tempatan).
Affleck turut memenangi Pengarah Terbaik untuk filem itu.
Karya berkenaan berkisar tentang misi ejen perisikan Amerika Syarikat untuk membebaskan enam diplomat negara itu yang mendapat perlindungan di kediaman duta Kanada di Tehran, Iran semasa krisis pada tahun 1979.
Sementara itu bagi kategori drama pula, Homeland dipilih sebagai drama terbaik anugerah berkenaan pada kali ini.
Claire Danes (kiri) dan Damian Lewis masing-masing memenangi Pelakon Wanita dan Pelakon Lelaki terbaik bagi drama Homelandpada Anugerah Gloden Globe yang berlangsung di Los Angeles, pada Ahad.
Homeland turut mencipta kejayaan apabila dua pelakonnya iaitu Damian Lewis dan Claire Danes masing-masing diumumkan sebagai aktor dan aktres terbaik.
Berikut ini senarai penuh pemenang Golden Globe 2013.
KATEGORI FILEM:
1. Filem Terbaik : Argo
2. Filem Komedi/Muzikal Terbaik: Les Miserables
3. Pengarah Terbaik: Ben Affleck – Filem Argo
4. Aktor Terbaik Drama: Daniel Day-Lewis – Lincoln
5. Aktres Terbaik Drama: Jessica Chastain – Zero Dark Thirty
6. Aktor Terbaik Muzikal/Komedi: Hugh Jackman - Les Miserables
7. Aktres Terbaik Muzikal/Komedi: Jennifer Lawrence - Silver Linings Playbook
8. Pelakon Pembantu Terbaik Lelaki: Christoph Waltz - Django Unchained
9. Pelakon Pembantu Terbaik Wanita: Anne Hathaway - Les Miserables
10. Filem Luar Terbaik: Amour
11. Lakon Layar Terbaik: Django Unchained
12. Skor Asal Terbaik: Life of Pi
13. Animasi Terbaik: Brave
KATEGORI DRAMA:
1. Drama Siri Terbaik: Homeland
2. Aktres Terbaik: Claire Danes - Homeland
3. Aktor Terbaik: Damian Lewis : Homeland
4. Drama Muzikal/Komedi Bersiri Terbaik: Girls
5. Pelakon Wanita Muzikal/Komedi Terbaik: Lena Dunham - Girls
6. Pelakon Lelaki Muzikal/Komedi Terbaik: Don Cheadle - House of Lies
7. Mini Siri/Filem Terbaik: Game Change
8. Aktres Mini Siri/Filem Terbaik: Julianne Moore - Game Change
9. Aktor Mini Siri/Filem Terbaik: Kevin Costner - Hatfields & McCoys
10. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Maggie Smith - Downton Abbey
11. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ed Harris - Game Change - AFP

RM50,000 Lesap Dalam Akaun Bank Lisa Surihani
Lisa Surihani

KUALA LUMPUR: Wang RM50,000 milik pelakon Lisa Surihani, 26 dan ibunya telah dicuri selepas kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.
Menurut laporan Harian Metro, ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, 62, mula menyedari kehilangan wang itu ketika dia ingin mengeluarkan sejumlah wang pada Jumaat lalu kira-kira pukul 10.30 pagi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.
Sumber polis berkata, ketika membuat semakan baki simpanan Siti Amira mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan dan mengesyaki berlaku penipuan kerana sebelum ini dia tidak membuat sebarang pengeluaran wang.
Menurutnya, apabila dirujuk kepada pihak bank dia diberitahu kad ATM miliknya sudah tidak boleh digunakan kerana sudah ditukarkan dengan kad baru oleh individu lain tanpa pengetahuannya.
“Berikutan itu Siti Amira bersama Lisa Surihani tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada hari yang sama,” katanya.
Sumber itu berkata, selepas semakan dilakukan, rekod pengeluaran wang menunjukkan wang dalam akaun dua beranak itu dikeluarkan di beberapa tempat dan terbaru di Kuantan, Pahang, Selasa lalu.
Sementara itu, Lisa Surihani ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Buat masa ini saya tidak mahu menceritakan kejadian sebenar yang terjadi tambahan ia kini dalam siasatan polis dan hanya akan memberi penjelasan selepas siasatan selesai.
“Apa yang boleh saya katakan laporan yang dibuat itu berkaitan dengan kehilangan wang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.